Bantuan Sara Hidup Fasa Pertama Dibayar 28 Januari 2019

PUTRAJAYA: Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama yang dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah akan dilaksanakan pada 28 Januari 2019 mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat sebelum Februari 2019.
“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima tidak layak kerana mereka bukan daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan.
“Atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.
“Ini membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dan bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selepas pangkalan data dikemas kini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.
“Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Baca Selanjutnya...

BSH Akan Diagih Selepas Tahun Baru Cina



BSH diagih selepas Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah akan mula diagihkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan sedang mengumpul data bagi penerima yang layak.

“Kita mempunyai pendekatan baharu, maka ia memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Seperti mana diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2019, kita mempunyai kaedah baharu melaksanakan pengagihan BSH.

“Ia akan dibuat selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan ia akan dibayar,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Ketika pentadbiran terdahulu, BSH dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menerusi BSH, setiap isi rumah berpendapatan kurang RM2,000 akan menerimaRM1,000.

Bantuan tambahan juga akan diperkenalkan iaitu golongan B40 yang mempunyai anak bawah usia 18 tahun akan menerima RM120, bagaimanapun terhad kepada empat orang anak.

Baca Selanjutnya...