Tugas Dan Peranan Kontraktor Dalam Industri Pembinaan
Ok pada hari ini saya akan mengupas berkaitan tugas dan peranan kontraktor dalam industri pembinaan. Industri pembinaan adalah merupakan salah satu sektor yang amat penting kepada negara. Ia memacu tahap pembangunan sesebuah negara menuju kearah negara maju pada masa akan datang. Diantara pembangunan yang terlibat adalah seperti jaringan jalan raya, bangunan pejabat, rumah kediaman, tenaga (national grid), pengangkutan, bekalan air dan sistem pembetungan.
Bagi merealisasikan kemajuan sesebuah negara banyak projek pembinaan dilancarkan pada setiap tahun. Bagi penyiapan sesuatu projek, pemilik mestilah melantik syarikat kontraktor yang bertanggungjawab dan kompeten. Setiap projek pembinaan adalah dimiliki oleh pelanggan atau klien samada ianya adalah badan kerajaan mahupun swasta.
Siapakah kontraktor? Kontraktor adalah satu entiti yang bertanggungjawab merealisasikan cita-cita yang digambarkan dalam bentuk lukisan kejuruteraan menjadi realiti dalam bentuk kebendaan. Ia juga adalah agen yang menterjemahkan lukisan berdasarkan spesifikasi dan ikatan kontrak yang dipersetujui diantara dua pihak. Setelah kerja disiapkan pihak kontraktor akan mendapat balasan dalam bentuk bayaran atas kerja yang disiapkan.
Sebelum perlantikan kontraktor dibuat ia perlulah melalui tatacara atau proses perlantikan yang betul mengikut sebagaimana ketetapan kementerian kewangan dan garis panduan kontrak. Diantara kaedah-kaedah perlantikan kontraktor adalah seperti tender terbuka, tender terhad, rundingan terus (direct negotiation), kerja sebutharga, kerja undi atau kerja inden. Kaedah perlantikan ini bergantung kepada kos dan jenis kerja yang akan dijalankan.
Orait guys tanpa membuang masa lagi jom saya terangkan tugas dan peranan kontraktor dalam industri pembinaan yang sebenarnya :
1) Menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, bangunan, jambatan, pendawaian elektrik, sistem mekanikal, penstabilan cerun dan lain-lain
2) Menjalankan kerja-kerja pembinaan bagi struktur baru seperti bangunan, jalan raya, jambatan, tenaga, bekalan air, perparitan dan lain-lain
3) Memastikan pembinaan yang dijalankan mengikut lukisan pembinaan, masa dan kos yang telah ditetapkan
4) Tidak menggunakan bahan-bahan yang rendah kualiti semata-mata untuk menjimatkan kos kerja
5) Sentiasa menitikberatkan aspek kualiti setiap kerja yang dijalankan
6) Tidak melangkaui masa kontrak tanpa alasan atau sebab yang munasabah
7) Mengupah pekerja yang mahir dalam satu-satu bidang kerja
8) Tidak menipu atau mengelirukan pemunya projek berkaitan kerja yang dilakukan
9) Sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan pekerja dan orang awam
10) Membuang sisa binaan di tempat yang betul dan tidak mencemarkan alam sekitar
11) Tidak membuat tuntutan palsu kepada pelanggan
12) Mengadakan perbincangan bersama perunding atau pemilik projek sekiranya terdapat percanggahan lukisan pembinaan, bq atau dokumen kontrak
13) Menghadiri mesyuarat tapak, mesyuarat teknikal dan mesyuarat penyelarasan projek sekiranya dijemput oleh klien atau perunding
14) Menjalankan kerja mengikut sebagaimana program kerja (penjadualan projek) yang diluluskan Pegawai Penguasa
15) Membuat perancangan yang teratur dari segi money management, manpower, machinery dan material (4M)
16) Memastikan bahan binaan dan jumlah pekerja mencukupi untuk menyiapkan kerja
17) Memastikan pelaksanaan kerja berlandaskan undang-undang kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan
18) Mengawasi kerja-kerja yang dilakukan oleh subkontraktor yang dilantik
19) Membuat bayaran atau gaji kepada subkontraktor atau pekerja mengikut masa yang dipersetujui
Selain daripada itu, tugas dan peranan kontraktor dalam industri pembinaan sebenarnya bermula daripada tarikh milik tapak, peringkat pembinaan, penyerahan projek kepada pelanggan dan tempoh kecacatan projek (defect liabilty period). Manakala had nilai perolehan bagi kerja kerajaan atau pun Gred Pengkhususan untuk kerja-kerja bangunan/awam/mekanikal/elektrik secara umumnya adalah seperti berikut :
1) G1 - Sehingga 200,000.00
2) G2 - Sehingga 500,000.00
3) G3 - Sehingga 1,000,000.00
4) G4 - Sehingga 3,000,000.00
5) G5 - Sehingga 5,000,000.00
6) G6 - Sehingga10,000,000.00
7) G7 - Melebihi 10,000,000.00
Ok guys saya rasa setakat ini dahulu coretan tugas dan peranan kontraktor dalam industri pembinaan semoga tulisan ini dapat memberi info yang berguna kepada anda semua dan jumpa lagi untuk artikel akan datang. Terima kasih :) Baca Selanjutnya...
Subscribe to:
Posts (Atom)