BR1M 2016 Dibayar Mulai Esok

br1m Pembayaran BR1M mulai esok Bantuan Rakyat 1 Malaysia

PUTRAJAYA - Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 akan bermula esok.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata pemberian BR1M 2016 bagi kategori isi rumah dan warga emas akan diagihkan sebanyak empat peringkat setahun yang bermula esok 28 Januari, 28 April, 23 Jun dan 28 September.

Bagi penerima di bawah kategori individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM400 sekaligus mulai esok.

"Ini (pemberian BR1M) bagi memastikan penerima dapat membuat perancangan perbelanjaan dengan lebih baik khususnya dalam membeli barangan keperluan dapur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian BR1M 2016 dan penerusan Skim Khairat Kematian (SKK).

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000 manakala bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800 pada tahun ini.

Satu kategori baharu diperkenalkan iaitu bagi semua penerima dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah RM1,000 akan menerima BR1M sebanyak RM1,050.

Ahmad Husni berkata pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

Bagi mereka yang tidak mengemukakan maklumat akaun bank, baucar BR1M akan diedarkan kepada penerima dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja, katanya.

Bagi SKK, beliau berkata bantuan sebanyak RM1,000 akan diberi kepada waris penerima BR1M di bawah kategori isi rumah dan warga emas.

Ahmad Husni berkata tuntutan SKK boleh dibuat di mana-mana cawangan BSN dengan mengemukakan dokumen kematian yang sah dan kad pengenalan asal waris dan hanya waris yang dinamakan di dalam borang sahaja yang layak untuk menuntut SKK.

Bagi penerima yang belum mengemaskini maklumat waris, pengemaskinian boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhampiran, katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta email kepada: br1m@treasury.gov.my - Bernama

1 comment:

  1. Saya dah check dekat bank tapi saya brim tak dapat pun

    ReplyDelete